Selamat Bertemu di Ruang Katarsis - Sumber Maklumat Bahasa Melayu dan Penulisan Kreatif

ILMU BUKAN TEMPAT BERGANTUNG, BERGANTUNGLAH KEPADA PEMBERI ILMU.

Sunday 28 February 2021

PANDUAN MENULIS ANAKDOT

 PANDUAN MENULIS ANEKDOT

PENGENALAN

Anekdot bererti kisah yang ringkas dan biasanya agak lucu tentang sesuatu kejadian (peristiwa). Kisah bererti cerita. Cerita yang dimahukan ialah cerita memberikan kesan dan membawakan perubahan, walaupun sebuah cerita yang biasa-biasa. 

Ringkas bererti padat, bermakna tidak perlu hendak terlalu memberikan penerangan terperinci mengenai cerita itu – tidak perlu latar masa, latar tempat, perwatakan. Yang penting ialah tema (persoalan pokok sesuatu cerita di mana persoalan ini boleh berdasarkan pengalaman, kejadian sebenar atau apa saja yang menjadi idea atau pemikiran seseorang). Ini bermakna tidak perlu hendak menjelaskan kepada pembaca. 

Tujuan anekdot itu sendiri untuk merangsang pembaca untuk membuat analisa dan mencari sendiri kefahaman mereka terhadap sesebuah cerita. Jangan risau pembaca tidak faham apa yang kita hendak sampaikan dalam cerita. Yakini kuasa cerita dan yakini daya fikir pembaca. Ini setiap pembaca akan menafsir sesebuah cerita mengikut perspektif mereka. 

Perincian akan menjadi unsur lewah dalam sesebuah anekdot, sedangkan anekdot perlu padat.  

Kata Kunci : Cerita, ringkas, lucu.


Contoh Anekdot 

RAKAN sekerja mendapat satu mesej yang mengandungi satu singkatan perkataan. 

“Akak, apa maksud 'mrg'?" Dia bertanya kepadaku yang baru hendak menarik kerusi untuk duduk.

Aku pun pertama kali mendengarnya. Terus saja aku menjawab yang aku tidak tahu. Kemudian, aku mula membebel mengenai kecenderungan sesetengah orang menggunakan singkatan perkataan ketika menulis mesej sehingga menimbulkan kekeliruan dan salah faham orang yang membaca.

"Dulu akak suka juga menggunakan singkatan, tetapi selepas satu insiden, akak mula membiasakan diri untuk menaip penuh setiap perkataan," beritahu aku sambil menghidupkan komputer.

"Insiden apa?" 

"Akak hantar mesej kat seseorang. Orang tu tersalah tafsir dan akibatnya, dia terlepas flight pergi ke Jepun," jawabku selamba.

Kecuaian yang membawa kerugian yang besar kerana tempat kerja terpaksa membeli tiket penerbangan yang baharu. Memang aku serik sangat selepas itu.

Nota : Jumlah perkataan adalah 126 patah perkataan, bermakna masih ada ruang untuk Penulis ini memperbaiki anekdot ini sehingga genap 150 patah perkataan, jika perlu. 

Dalam hal ini, Pembaca A mungkin akan mendapat manfaat tentang kepentingan ejaan penuh dalam suatu perkataan, manakala Pembaca B akan melihat kegagalan pengurusan yang boleh dielakkan dengan perancangan yang lebih sistematik. 

Perhatikan bahawa di mana latar tempat dan latar masa tidak dinyatakan, tetapi pembaca yang meneliti sudah dapat menduga bahawa latar tempat dan latar masa adalah di sebuah pejabat dan waktu pagi. Keadaan di pejabat itu atau itu pejabat apa tidak dinyatakan kerana maklumat ini tidak membantu kepada tema cerita iaitu kepentingan untuk menggunakan bahasa dengan baik. Pembaca juga akan mengetahui yang Aku dalam anekdot ini seorang kaki leter dan kuat membebel.

Sebagai penulis, kita menulis dan bercerita. Biarkan pembaca membuat tugas membaca.

No comments:

Post a Comment