Selamat Bertemu di Ruang Katarsis - Sumber Maklumat Bahasa Melayu dan Penulisan Kreatif

ILMU BUKAN TEMPAT BERGANTUNG, BERGANTUNGLAH KEPADA PEMBERI ILMU.

Thursday, 22 September 2011

Himpunan Pantun

Pantun Perpisahan






PANTUN BERJAUHAN

Kerat buluh  panjang selengan,
Mari jolok buah bidara;
Pemanis kata selamat datang,
Salam bersambut pembuka bicara.

Dari Jerung ke Pulau Rusa,
Singgah sebentar di Merbau Patah;
Mari  berpantun mengubat rasa,
Merawat luka hati yang patah.

Pergi berakit ke Kuala Berang,
hendak membeli jagung sepikul;
bertapa berat orang memandang,
berat lagi bahu memikul.

Puyuh mengeram di tepi hutan,
Penyu  mengeram di Pulau Sekati;
Orang karam di tengah lautan,
Saya karam di dalam hati.

Menjual saji di pekan Marang,
buat menutup si anak ikan;
Hati tersiksa di rantau orang,
Kerana azam  hamba kuatkan.

Pergi ke Dungun membuat dangau,                
dangau rumbia di tepi rimba;
berapa tinggi terbang bangau,
di tasik ketengah kembali jua.

Anak nelayan main gelombang,
Nampak dari Bukit Sawa;
Tuan umpama laksamana terbilang,
Sentiasa hidup di dalam jiwa.

Mari mendaki di Bukit Puteri,
Jangan diusik sarang tempua;
Walau jauh hamba pergi,
Kepada tuan terkenang jua.

Rumah api genta pusaka,
Nampak dari Tanjung Mengabang;
Kalau kering air di kuala,
Mungkin hamba lupakan tuan.

Bunga cina buat jambangan,
Melur kembang di tapak tangan;
Hamba jauh di kota larangan,
Berpisah  di mata di hati jangan.

Purnama penuh terbit petang,
Bintang kejora terbit pagi;
Jika ada ketentuan tuhan,
Semoga kita bertemu lagi.

CHE JAMILAH A.R
HILIRAN

1 comment:

  1. pandai cg jamie reka pantun..i like!!!

    ReplyDelete