Selamat Bertemu di Ruang Katarsis - Sumber Maklumat Bahasa Melayu dan Penulisan Kreatif

ILMU BUKAN TEMPAT BERGANTUNG, BERGANTUNGLAH KEPADA PEMBERI ILMU.

Thursday 22 September 2011

Himpunan Pantun

Pantun Perpisahan






PANTUN BERJAUHAN

Kerat buluh  panjang selengan,
Mari jolok buah bidara;
Pemanis kata selamat datang,
Salam bersambut pembuka bicara.

Dari Jerung ke Pulau Rusa,
Singgah sebentar di Merbau Patah;
Mari  berpantun mengubat rasa,
Merawat luka hati yang patah.

Pergi berakit ke Kuala Berang,
hendak membeli jagung sepikul;
bertapa berat orang memandang,
berat lagi bahu memikul.

Puyuh mengeram di tepi hutan,
Penyu  mengeram di Pulau Sekati;
Orang karam di tengah lautan,
Saya karam di dalam hati.

Menjual saji di pekan Marang,
buat menutup si anak ikan;
Hati tersiksa di rantau orang,
Kerana azam  hamba kuatkan.

Pergi ke Dungun membuat dangau,                
dangau rumbia di tepi rimba;
berapa tinggi terbang bangau,
di tasik ketengah kembali jua.

Anak nelayan main gelombang,
Nampak dari Bukit Sawa;
Tuan umpama laksamana terbilang,
Sentiasa hidup di dalam jiwa.

Mari mendaki di Bukit Puteri,
Jangan diusik sarang tempua;
Walau jauh hamba pergi,
Kepada tuan terkenang jua.

Rumah api genta pusaka,
Nampak dari Tanjung Mengabang;
Kalau kering air di kuala,
Mungkin hamba lupakan tuan.

Bunga cina buat jambangan,
Melur kembang di tapak tangan;
Hamba jauh di kota larangan,
Berpisah  di mata di hati jangan.

Purnama penuh terbit petang,
Bintang kejora terbit pagi;
Jika ada ketentuan tuhan,
Semoga kita bertemu lagi.

CHE JAMILAH A.R
HILIRAN

http://www.dbp.gov.my/lamandbp/main.php

Portal Rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka

Pintar Bahasa


Soalan : Apakah perbezaan mendukung dengan mendokong?
Jawapan : Mendukung bermaksud membawa kanak-kanak kecil sama ada ia bercelapak pada pinggang (atau di belakang) atau dengan menyokong punggung kanak-kanak itu dengan sebelah tangan dan sebelah tangan lagi diletakkan di bawah ketiaknya atau disebut juga menggendong. Tidak ada kata terbitan mendokong dan dokong ialah sejenis buah-buahan.
Sumber : DBP


"Apabila" dan "Bila"
Kata apabila tergolong dalam jenis kata yang disebut kata hubung. Kata-kata lain yang segolongan dengan kata apabila ialah ketika, dan, tetapi, lalu, kemudian, dan sebagainya. Jadi, kata apabila digunakan untuk membentuk klausa yang menjadi keterangan dalam ayat.
Contoh ayat : Apabila tiba waktunya, saya akan pulang.
Kata bila pula tergolong dalam jenis kata tanya. Kata yang segolongan dengannya ialah apa, mengapa, bagaimana, dan sebagainya. Oleh itu, kata tanya bila boleh digunakan dalam ayat tanya untuk menanyakan masa. Partikel kah bolehlah ditambah untuk menegaskan pertanyaan.
Contoh ayat : Bila(kah) saudara sampai?
(Awang Sariyan : 2005)

Himpunan Kata-Kata Hikmah


1. Pengorbanan bukan bermakna membunuh diri. Pengorbanan bermakna menyerah diri kepada Allah.
2. Guru perlu menyusun pelajar mengikut tahap pencapaian.
3. Kenapa masa disalahkan kerana gagal merancang?
4. Ilmu tidak dapat diwarisi.  Lebih baik memberi pancing daripada memberi ikan.
5. Kemahiran diperoleh daripada pengalaman bukan semestinya daripada sijil.
6. Dalam awan ada hujan, dalam hujan ada air, dari air adanya kehidupan.
7. Masa ialah hijab manusia yang paling besar.
8. Kita perlu bermain untuk menang, bukan untuk seri.
9. Apa yang terungkap dirakam oleh alam.
10.Aku menyerumu di kala hatiku berdetik.










Himpunan Sajak


RAKSI PERPADUAN

Kita penghuni tanah merdeka
yang lahir dari pengorbanan
lampau
bergelut demi mewujudkan
sebati fahaman yang wahid
pada teguh pohon pegangan
antara dahan kepercayaan
dan ranting-ranting
kebudayaan.

Marilah kita bangkit
berganding lengan
kita padukan kata yang seia
kita hijaukan dedaun
muhibbah
kerana kita antara
pohon rimba
di taman mandala buana
teguh berdiri menjulang nama.

Biar kuntum-kuntum
berkembang
yang bakal berputik itu
membentuk buah erat
meranum mekar perpaduan
dibajai kemesraan dan
harmoni.

Biar raksi kuntumnya
mengharum
pelusuk jagat
haruman dari dahan-dahan
berkumpul di akar
raksi keluhuran, raksi
 kesopanan
menjalar dan menggengam
tanah.

Kita akan tetap berdiri
di sini
biar taufan melanda
biar banjir menggugah
biar kemarau menduga
kita akan kekal di sini
kerana akar fahaman 
yang kukuh
kita terus megah berdiri
disokong perpaduan ini
kerana perpaduan
adalah dogma warisan
warga setia
mewangi di sepanjang
musim kehidupan.
Karya : chejamilah a.r

Friday 16 September 2011

YANG KURIK ITU KUNDI

Salam pertemuan di mandala kartasis.  Saya ingin mengucapkan selamat bertemu, terima kasih kerana melayari blog yang telah dibina ini.  Sebagai guru bahasa Melayu saya ingin berkongsi cerita tentang bahasa, dan dalam blog ini saya titipkan sebahagian karya-karya saya yang pernah tersiar dalam media massa, dan karya-karya ini akan ditambah dari masa ke masa, begitu juga dengan artikal tentang bahasa yang boeh dikongsi bersama.  Sudilah kiranya saudara memberi komen membina kepada saya.    Sekian, salam hormat.